Sunday, December 31, 2006

marah

Setelah beberapa kali berjanji dan tergendala, akhirnya dapatlah satu tarikh yang saya dan Shahriman, rakan sekelas saya dahulu, berjanji untuk bertemu.Kami sudah tidak bertemu kira-kira 15 tahun. Dan saya sangat gembira.

Di hari yang dijanjikan, saya menunggu dengan penuh debaran di restauran di hadapan sekolah lama kami. Sengaja kami pilih restauran tersebut kerana nostalgia. Saya sampai 30 minit awal. Saya sangat gembira.

Dari jauh saya lihat Shahriman datang. Dia masih seperti dulu, kacak dan bergaya cuma sedikit err.. tebal. Mungkin kerana usia atau mungkin juga kerana senang.Dia membimbit sebuah beg.

Dia menghulurkan tangan, saya tarik tangannya dan terus memelok. Dia sedikit terkejut.Mungkin kerana tidak menjangka saya akan memelok kerana walau pun sekelas, dia dari kumpulan budak nakal, saya kumpulan yang lagi satu.Dan kami bukanlah rakan yang akrab semasa di sekolah. Tapi saya menganggap siapa sahaja yang tidak saya temui lebih dari 3 tahun adalah kawan rapat.

Pelayan restauran datang dan bertanya sama ada kami mahu membuat pesanan, saya katakan yang kami akan memanggil jika sudah bersedia.

Kami mula berbual cerita semasa disekolah dulu.

Dari Shahriman saya dapat tahu yang Baharuddin kini adalah pengurus sumber manusia di kilang Panasonic. Abdul Mutalib hilang entah kemana. Zul Qaisar adalah pereka sampul kaset bagi kumpulan Belantara! Album Serikandi Disisi atau apa. Saya lupa. Shamsul Bahri katanya mungkin seorang arkitek yang mempunyai firma sendiri. Syed Faisal pernah menjadi penulis teks ucapan Kak Pidah. Toh Bo Hoe kini pengurus sekolah musik Yamaha dan dia tidak reti langsung bermain sebarang alat musik! Norbi pula adalah seorang kontraktor yang berjaya. Chai Hong Seng juga hilang entah kemana. Pritkiron Singh kini doktor gigi di London. Kenneth Lim juga di London malah guru kami, Encik Su Lee juga berada di London dan saya tidak pernah teserempak dengan mereka! Roslin Rejab pula tidak diketahui samada bertugas sebagai duta atau berkerja di bawah duta Malaya di Vietnam atau Burma.

Sofian meninggal semasa melanjutkan pelajan. Azman Ali juga sudah meninggal begitu juga dengan Alias Congo. Sirajudeen juga telah meninggal akibat demam kuning. A-fatehah untuk mereka.

Tetapi sepanjang saya bergembira mendengar cerita, saya dapati Shahriman seakan-akan resah. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin tidak selesa dengan kemesraan saya, fikir saya waktu itu. Bukanlah saya mabuk arak atau khayal dadah tetapi kegembiran saya melebihi tahap yang biasa bagi saya yang di kenali waktu di sekolah dulu, jadi mungkin dia keliru.

Setelah puas ketawa dan sedih,saya melambai tangan kepada pelayan restauran sebagai tanda kami sudah bersedia untuk membuat pesanan.

Saya memesan minuman berais, maklomlah, Malaya panas. Shariman tersenyum seraya berkata,

"Tak elok minum ais malam-malam dan minum ais tu sendiri tak baik untuk kesihatan."

"Habis minum apa yang baik?" Tanya saya. Kesilapan besar.

Dari begnya dia mengeluarkan berberapa paket kecil.

"Minum la kopi ni. Bagus ni Jones." Dan dia mula menceritakan kebaikkan kopi dalam peket tersebut seolah-olah ianya adalah perniagaan milik keluarganya turun temurun dan harus di perkenalkan dan di pertahankan.

Kemudian dia menceritakan bagaimana dengan menjual kopi tersebut akan mendatangkan pulangan kewangan yang berlipat kali ganda.Di akhir penerangan yang tidak di undang itu, kebaikkan kopi tersebut hilang. Yang terbit adalah pelan pemasaran.

Saya bangun dan mengambil pisau belati di pinggan dalam baju yang memang saya bawa kemana-mana dan menikam Shahriman tepat di dadanya berkali-kali. 13 kali jika saya tidak silap mengira.

Dia mati di situ juga.

Wednesday, December 27, 2006

atau

Beberapa hari lepas akhbar percuma yang saya baca di keretapi sekali lagi menceritakan bagaimana puluhan ribu jiwa di Malaya sana dilanda malang banjir.

Kampung saya dahulu juga sering dilanda banjir. Airnya tidaklah tinggi tapi cukup untuk kami berakit ke hulu-hilir.

Pa dan Kodik tukang tebang buluh,hijau dan membuat rakit. Kami tidak berani menebang buluh kuning kerana menurut Iji, adik Pa, itu buluh keramat, ada penunggu. Mezah dan saya tukang tunggu rakit siap. Dan kami berakit sehingga air surut.

Biasanya masa yang kami ambil untuk membuat rakit adalah melebihi masa kami meggunakannya kerana banjir yang melanda kampung kami tidak kekal lama. Maklomlah kampung kami waktu itu belum maju. Dan wakil rakyat dan menteri diwaktu itu tidaklah begitu sibuk menzalimi kami.

Tidak perlulah saya menceritan keseronokkan yang kami alami kerana seperti harta benda para penguasa Malaya yang menjadi citarasa semasa, ianya adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat. Tersendiri dan tersorok. Lainlah jika dengan sebab yang tidak dapat dielakkan penguasa itu bukan lagi menjadi flava masakini, maka segala nilai harta dan saiz kutang dadanya akan dihebahkan.

Pa, masih di Serenti. (saya rasa dia kini adalah penghulu semua Serenti di Malaya disebabkan faktor umur dan pengalaman atau mungkin juga telah diserap sebagai wader). Kodik diserang sakit jantung beberapa bulan lepas dan dia tidak pernah merokok.Dia sembuh tetapi tidak secergas dahulu. Iji masih dengan bermain musik. Mezah meninggal dunia Ramadhan dua tahun lepas.

Dan saya disini masih sibuk mencari seronok.

Saturday, December 23, 2006

inilah

sajak buat perempuan gemok di sebelah meja.



seorang diri sepi adalah beban/seorang isteri cantik adalah beban/seorang anak comel adalah beban/seorang ibu nyanyuk adalah ikhsan/sebuah rumah milik pkns adalah beban/sebuah proton wira bayar secara ansuran, adalah beban/sebuah masjid dalam taman perumahan adalah ikhsan/kekasih adalah beban/teman adalah beban/taulan adalah beban/ikhlas adalah ikhsan/kerja di pejabat kerajaan adalah beban/amanah tidak makan suap adalah ikhsan/aku adalah beban/perempuan gemuk disebelah meja adalah ikhsan

lagu dan nyanyian: airmas sz (http://airmas.blogspot.com/)
sajak : siapa lagi..

Wednesday, December 20, 2006

agaknya

Kadangkala di dalam akhbar yang saya baca setiap hari, akan ada berita-berita kaki mengenai tanah tumpah darahku, Malaya.

Dari berita budak perempuan yang cuba mencipta rekod dunia dengan duduk sekandang dengan binatang berbisa sehinggalah berita mengenai lelaki muda yang menikahi perempuan yang amat tua. Dan setiap kali membaca berita-berita begitu saya membayangkan diri saya sebagai seorang aristokrat Inggeris yang membaca cerita-cerita negara-negara Afrika. Kuno dan tidak bertamadun pada pandangan saya.

Namun hari ini, saya terpidana membaca berita mengenai betapa kerajaan Malaya membatalkan hasrat supaya ANGKASAWAN pertama Tanah Melayu untuk melakukan ujian menyediakan teh tarik di angkasa.

Malaya ada ANGKASAWAN? Wow! Kata hati lelaki asristokrat Inggeris ini.

Oh! Bukannya saya terkejut kerana rakyat Malaya kini akan ada yang bergelar ANGKASAWAN, tetapi saya kecewa kerana ujian penyediaan teh tarik itu di batalkan.

Saya kecewa, sangat kecewa.













hhahhahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahahaha
hahahahhhapooooootttttthahahhhahahahahahahahahahahahahahahaha.

Saturday, December 16, 2006

perpatah

Rasanya hanya di Malaya apabila sesuatu tindakkan kerajaan tidak disenangi oleh rakyat, maka rakyatnya akan bertindak. Yang menulis blog akan membincangkannya. Yang bersajak akan mula mengarang bait-bait puisi. Yang kuat bertekak akan mula bertegang leher marah dan setuju. Yang menulis novel, err..tidak.

Yang menulis novel biasanya jarang terlibat dalam memperkatakan misalnya harga minyak yang tidak munasabah atau tol jalanraya yang naik dan naik kerana mereka ada banyak lagi isu yang lebih penting untuk di novelkan. Kekasih yang mempunyai nama seperti dewa kayangan yang menderita penyakit misteri misalnya atau masalah rumahtangga yang agaknya sampai kiamat akan menjadi sebahagian cara hidup masyarakat melayu Malaya jika kita percaya kepada para penulis novel dan pembikin filimnya.

Akhbar jarang menyiarkan kemarahan rakyat kerana terpaksa berebut ruang dengan berita cantumkoyak kemaluan para artis. Dan mereka (akhbar) tahu rakyat lebih suka membaca tentang panjangpendek (umur pernikahan, bukan apa yang kamu sangkakan) para penghibur.

Setelah genap 2 minggu berbincang diblog atau bersajak atau bertekak, rakyat Malaya akan kembali asal dengan satu tekad baru iaitu berkerja lebih kuat untuk membayar harga minyak dan tol.

Sebagai membalas jasa kuatkerja kalian, kerajaan Malaya akan memberikan kenaikkan gaji awal tahun depan kerana 100% rakyat Malaya adalah anggota kerjanya.

Syabbas! Tepuk bahu kalian diatas kegigihan masing-masing. Nanti dimasa acara kongsi raya kamu akan dijamu dengan makanan yang dibeli dengan wang kamu sendiri. Itulah yang dikatakan kongsikaya. Kamu diberi makan dalam pinggan kertas dan para menteri hadir untuk mentertawakan kamu.

Akhirkata, marilah kita sama-sama memikirkan maksud perpatah ini, 'berkeris-berkeris juga, C4 jangan dilupa.'

Wednesday, December 13, 2006

melayu

Saya sangkakan saya ini seorang yang rajin, rupanya tidak. Maka dengan itu saya tidak lagi akan memoderatikan (haha) komen-komen di blog ini. Malas benar membuka email dan kemudian membebaskan komen-komen yang di moderatikan (haha) itu.

Jadi saya berharap sebilangan kamu janganlah menjadi seperti budak yang baru pandai mencalat. Kata-kata carut-marut,maki-hamun dan serangan peribadi serahkan sahaja kepada yang ahli (baca: saya). Tugas kamu hanyalah memuji-muji tulisan saya di ruang komen, maka bertugaslah dengan tekun.

Sebagai hiburan dan kerana lama tidak menunjuk-nunjuk kepandaian bersastera, maka di bawah ini saya tuliskan kembali sebuah sajak yang telah saya letakkan di esastera.com. Oh! Mungkin iklan ini sedikit terlewat, tetapi jika kamu membacanya sebelum jam 8.00 pagi hari Rabu, silalah berada didepan televisyen Saluran Satu kerana boss besar esastera.com akan diwawancara di rancangan Selamat Pagi Malaya untuk berbicara tentang esastera.com dan hari anugerahnya. (Rasanya tikit-tikit untuk hari anugerah tersebut masih di jual, jika berminat untuk menghadirinya, sila ke lama esastera.com)

Makluman: Hari anugerah kumpulan Ronggeng Zainal tidak diiklankan di televisyen.

Dan tidakkah kamu merasa menyesal kerana tidak menjadi anggota esastera.com?

yasmin

aku helang
garang dan terbang
dan terbang dan
terbang dan terbang

engkau arnab
dan diam dan
diam dan diam
di dalam lubang.

Saturday, December 09, 2006

berkeris

Saya dalam dilema.

Tidakkah kamu teringin memulakan blog kamu dengan ayat se dramatik itu? Saya sangat ingin dan hari ini terlerai sudah keinginan itu. Kerana rasa saya, lagi dramatik blog kamu, lagi banyak komen.

Tidak percaya? Lihat saja ruang ini nanti.






(fuhh! menjadilah!)

Tuesday, December 05, 2006

baru,

June nanti, larangan merokok di tempat-tempat awam, restoran, tempat kerja dan segala macam tempat yang bermanusia, hatta di taman bunga sekali pun akan berkuatkuasa di sini.

Inilah yang saya benci dengan kerajaan di sini, bila mereka berjanji akan melakukannya, percayalah dengan sesungguh hati kamu yang mereka akan melakukannya. Dan apabila undang-undang itu di kuatkuasakan, ianya adalah untuk semua, raja dan rakyat, ahli politik dan talibarutnya, rakyat biasa dan hamba sahaya.

Di masa-masa beginilah airmata saya akan jatuh, tap,tap,tap. Membasahi tiga dari lima helai janggut saya. Sedih terkenangkan kampung halaman yang sentiasa bertolak-ansur. Alangkah bagusnya jika June nanti saya bisa berada di Malaya. Bolehlah saya merokok sebebas-bebasnya.


ps: 'Apa perkara pertama yang kamu buat tiap kali kembali ke Malaya? Minum teh tarik? Makan nasi lemak?' Tanya kawan di sini. 'Memandu kereta tanpa memakai talipinggan keledar.' jawab saya.

Friday, December 01, 2006

besar

Semasa di Malaya, seorang kawan yang rapat,warak dan berani bertanya kepada saya dengan amat bengisnya,'mu minung arok?' hanya kerana terlihat akan perut saya sedikit (banyak sebenarnya) besar dari kali terakhir saya di Malaya.

Begitulah kita, mudah membuat konklusi. Jika ada kawan kita yang baru bergiat dalam partai politik yang memerintah dan tidak semena-mena menjadi terlalu kaya, kita menuduh mereka korup. Asal bergambar dekat-dekat, khalwat. Bila ada polis trafik yang membuat sekatan jalan di tempat-tempat sunyi, kita menuduh mereka mencari duit kopi untuk membeli makan dan pakai anak isteri.

Tidak seperti ahli partai politik yang memerintah dan ketua para polis, saya cuma senyum dan mendiamkan diri sebagai menjawab pertanyaan kawan yang mengasihi saya itu.



ps: Pada yang bertanya apa hadiah saya kepada anak yang mendapat 5A, saya hadiahkan basikal baru kerana harga membaiki basikal lama dengan basikal baru hanya berselisih beberapa ringgit. Saya belikan basikal yang rimnya berlidi banyak dan tayar sedikit besar dari biasa.'Suka?' saya tanya dia, 'mmmm' jawab dia.(hahahahah, best ada anak)