Tuesday, June 14, 2011

mengapa kita bising


Bila semua mula bising tentang terbinanya sebuah kilang yang menghasilkan buangan radiasi di bandar serba suram ini,saya pun tenggelam sama menyokong penentangan itu.

Harus diketahui yang penentangan saya bukan kerana politik. Ada kawan mengatakan yang saya ini kerjanya menghentam kerajaan. Maka cari-lah dalam tulisan saya yang manakan yang dikatakan menghentam itu.

Kita harus tahu bezakan kritik dan apa yang dikatakan hentam itu. Saya akan setuju jika dikatakan saya sering mengkritik politikus (yang jahat), lalu bila kita sayang,kita jadi peduli.

Kritik adalah penting.Menerima kritikan juga adalah penting.Kita tidak mahu negara ini dibina oleh pembawa berita gembira sentiasa tanpa ada hati untuk melihat lebih dalam. Puja-puji akan sentiasa membawa mati,diri,hati juga negara. Kita juga tidak mahu pemimpin negara ini terbuai dengan tipu daya manusia yang menumpang tuah tanpa ada rasa kasih kepada negara (dengan kata sebenar) kecuali mahu mencari laba.

Negara dibentuk bukan untuk untuk satu orang.Negara adalah hak semua.Maka menjadi kewajipan semua untuk membina-nya menjadi sebuah penempatan yang sejahtera.

Kasih itu adalah apa yang dikatakan ambil tahu,peduli dan mahu maju.

Kita juga harus faham apa yang dikatakan sebagai humor lalu tanpa prasangka rela mentertawakan diri sendiri dalam semua hal.

Secara peribadi,saya menentang perjalanan kilang yang disebut atas dasar mengenal cara kita berkerja.Kita tidak serius dalam semua hal dan kita adalah satu negara yang korup dalam melaksanakan tugas.Kita sering merasakan yang manusia banyak terhutang budi kepada kita kerana rela berkerja. Upah yang kita dapat sentiasa bukan nilai sebenar khidmat yang kita berikan,rasa kita.Kerana itu juga kita sering meminta upah dengan cara tidak sah. Untuk mengeluarkan satu fail,kita mahu upah sampingan.

Lihat sahaja bagaimana bangunan yang dibina runtuh sebelum dapat dimanafaatkan. Lihat pula kemalangan demi kemalangan dalam banyak usaha yang kita namakan sebagai kemajuan.Keretapi panjat bukit yang sering rosak,jalan bertingkat yang pecah jatuh menghempap dan seribu satu macam lagi malang yang kita cipta dek kerana tidak cakna kita dalam menjalankan tugas.

Korup bukan sahaja bererti makan suap.

Lalu mari kita bayangkan kemalangan hidup yang bakal menimpa jika sekira tidak indah menjadi lumrah dalam perjalanan kilang tersebut.

Benar,radiasi yang dihasilkan amat kecil. Bahkan ada yang mengatakan rokok lebih menghasilkan kejahatan dari buangan kilang tersebut. Dan seperti rokok,ianya menjadi teramat berbahaya jika lebih.Jika rokok membunuh pengamalnya maka radiasi dari kilang tersebut (jika tidak dijalankan dengan benar dan dalam jangkamasa lama) bakal merosakkan sistem kehidupan banyak genarasi mendatang.

Jika pun kita tidak peduli akan kesihatan hidup kita hari ini,cuba warisan anak cucu kita dengan satu bumi yang mesra.

Kita jangan tipu diri sendiri dengan mengatakan yang kita mempunyai mentaliti besar sama seperti yang dimiliki oleh mereka dinegara maju kerana jauh disudut hati kita tahu yang kita tidak pernah mahu mengambil tahu apa yang berlaku kepada orang lain kerana yang penting adalah kita.

Dalam membentuk negara,kita kini dengan jayanya melahirkan satu bangsa yang hipokrit.

Seperti yang saya katakan,jika pemimpin negara ini sudah memutuskan sesuatu perkara,maka hanya kuasa tuhan sahaja-lah mampu menolaknya,namun,sesekali cuba fikirkan kesejahteraan semua kerana hari ini kita mungkin memimpin negara,esok lusa mungkin anak cucu kita pula yang terhegeh-hegeh memegang sepanduk,mengutuk kita.

Ini putaran hidup. Bukan sentiasa kita menang.

Kita ini jenis sentiasa baru. Jadi,cuba sedaya upaya tidak sombong. Mungkin dengan itu,akhir kita nanti bukan jadi sumber kegembiraan ramai.

Cuba dengar lagu diatas,nyanyian Meor,lirik saya. Tentu kamu setuju yang saya sangat pandai menulis. :)



3 comments:

mamai said...

kalau tka bising tak kritik kerajaan tak jalan kat malaysia nie

Kepala Manchiss said...

buat tingkap kereta pun masalah samoai la ni...lagi pulak loji nuklear.

VersedAnggerik said...

Saya paste entri ni di FB saya, sbb ianya amat bernas dan bersahaja!

Save Malaysia, Stop Lynas.